Ayo Beternak Burung Unta
Burung unta jarang mengeluarkan bunyi, tetapi sesekali ia menjerit, suara lantangnya boleh menyerupai ngauman seekor singa. Berbeza dengan kepercayaan umum, burung ini tidak menyorokkan kepalanya di dalam pasir jika merasa takut sedangkan keseluruhan badan yang lain terdedah. Walau bagaimanapun untuk mengelakkan daripada dikesan, burung unta akan duduk di atas tanah dan kepalanya sahaja yang didongakkan.
Burung unta berasal dari benua Afrika dan tergolong dalam order Ratitae, iaitu burung yang tidak boleh terbang. Burung ini tergolong dalam famili yang sama dengan burung kasuari, emu, rhea dan kiwi. Dalam sejarah perkembangan manusia, burung unta mula diternak secara komersial pada tahun 1860 di Afrika Selatan, dengan matlamat utamanya untuk penghasilan bulu. Setelah mengalami beberapa kali kemerosotan dan pemulihan, pada tahun 1945 industri moden burung unta mula berkembang. Selain bulunya, daging dan kulit merupakan teras utama industri.
Di Malaysia, sebilangan besar burung unta mula diimport pada tahun 1994 dan diternak di ladang. Kini terdapat lebih 35 tempat pemeliharaan burung unta di seluruh negara. Daging burung unta kian popular di kalangan pengguna dan mudah diperoleh terutama di restoran dan hotel ternama.
Burung unta yang wujud pada masa ini hanya satu spesies sahaja iaitu Struthio camelus. Walau bagaimanapun, terdapat empat subspesies yang bertebaran di benua Afrika. Hasil penyelidikan telah mendapatkan satu baka yang sangat berpotensi, iaitu baka Hitam Afrika. Baka ini lebih jinak dan telah dikembangkan sebagai baka komersial kerana kadar pembiakan yang baik dan mempunyai bulu, daging dan kulit yang bermutu tinggi.
loading...
No comments: